Bab 1






BAB 1
PENGENALAN LATIHAN INDUSTRI




1.1       Pengenalan

            Latihan industri atau secara umumnya ialah latihan secara praktikal yang telah diwajibkan ke atas semua pelajar semester enam adalah satu syarat untuk lulus dan memiliki Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) apabila tamat pengajian di Politeknik Sultan Idris Shah.

            Dalam tempoh masa 20 minggu bermula pada 28 November 2016 sehingga 14 April 2017, saya telah menjalankan latihan industri di Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial yang bertempat di Ampang, Kuala Lumpur.  Dalam tempoh saya berada di organisasi ini, saya dapat melalui pengalaman baru dalam hidup saya terutamanya di dalam alam pekerjaan.

            Aspek paling penting dalam mengikuti latihan industri ini adalah untuk pelajar dapat menanamkan semangat kerja secara berpasukan dan membuat perhubungan baik di antara pekerja.  Tujuan latihan industri ini juga adalah untuk mengaitkan teori yang dipelajari dan disesuaikan kepada praktikal. Selain itu, dengan menjalani latihan industri,ia dapat meningkatkan pengetahuan para pelajar dan dapat membuka minda untuk memikirkan bagaimana sesuatu benda itu terjadi dan mengenal pasti cara untuk mengatasi masalah yang timbul semasa berada di tempat kerja.   

            Dengan ini secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan sikap lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.  Justeru itu, latihan industri juga dapat melahirkan graduan yang berkualiti dari segi mental dan fizikal bagi mengisi kekosongan di dalam alam pekerjaan pada masa akan datang. 





1.2 Pendahuluan


        Latihan Industri merupakan antara komponen utama dalam kurikulum pembelajaran di Politeknik dan dilaksanakan pada semester enam bagi program yang telah dikenal pasti bagi menjalankan Latihan Industri Semester Akhir (LISA).  Ianya adalah merupakan proses penempatan pelajar di mana-mana organisasi sama ada di jabatan kerajaan atau organisasi swasta bagi mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan yang sebenar.  Pelajar yang mengikuti pengajian di Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia diwajibkan menjalani Latihan Industri selama satu semester sebelum dianugerahkan diploma.





1.3 Objektif Latihan Industri


 Program Latihan Industri harus dijalankan oleh pelajar untuk mencapai objektif berikut:-

  • Mendapat pendedahan secara langsung terhadap profesion serta aplikasi dalam bidang masing-masing.
  • Memberi peluang untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan para profesional dari pelbagai bidang.
  • Menimba pengalaman bekerja di dalam satu organisasi profesional.
  • Membina daya kreativiti, kemahiran teknikal, interpersonal dan komunikasi.
  • Menjalin dan mengeratkan hubungan dengan ahli profesional di luar kawasan pengajian.
  • Menguruskan masa dengan cekap di samping mudah menyesuaikan diri kepada aplikasi teknologi, pengurusan terkini dan masa depan.
  • Memantapkan ilmu, teknik dan kemahiran menggunakan peralatan moden dalam bidang yang diceburi.
  • Membina semangat dan keyakinan diri untuk menempuh cabaran dan persaingan selain dapat membina sifat amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.





1.4 Objektif Laporan Latihan Industri


            Apabila tamat Latihan Industri yang dijalankan di sebuah organisasi tersebut itu, maka setiap pelajar harus menyediakan Laporan Akhir Latihan Industri dengan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak politeknik.  Ia adalah bertujuan untuk menilai sejauh manakah keberkesanan Latihan Industri yang dijalankan oleh pelajar sepanjang tempoh tersebut.
            
Antara Objektif Laporan Latihan Industri:-

  • Menterjemah kerja-kerja amali yang dilakukan ke dalam bentuk teori.
  • Membentuk peribadi seorang pekerja yang berdisiplin kerana berupaya membahagikan masa dengan sebaiknya.
  • Melahirkan pelajar yang bijak mengurus, merancang dan melaksanakan tugasan dengan cekap.
  • Meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap tanggungjawab profesional, etika dan sosial.
  • Memahami aspek-aspek pengurusan dan penyeliaan dalam persekitaran kerja.
  • Melatih pelajar menghasilkan laporan yang padat, tepat dan berkualiti.
  • Memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran komputer yang dipelajari.
  • Laporan Akhir Latihan Industri juga berperanan untuk dijadikan bukti atau dokumen sokongan ketika menghadiri sesi temu duga sebenar kelak.





1.5 Kepentingan Latihan Industri


            Kepada pelajar Latihan Industri merupakan satu cabang bidang ilmu yang memberikan peluang kepada seseorang pelajar untuk mengaplikasikan setiap proses pembelajaran yang dilalui semasa sesi di dalam bilik kuliah.

            Tanpa Latihan Industri, seseorang pelajar itu tidak akan mempraktikkan segala kemahiran yang telah diperoleh.  Kes ini sekali akan menyukarkan pelajar untuk mencari pekerjaan.  Ini kerana, kebanyakan majikan akan menilai bakal pekerjaannya dengan kemahiran dan pengalaman kerja yang telah dilaluinya sebelum ini.

            Dari sudut lain, Latihan Industri ini penting untuk pelajar untuk mendapat peluang pekerjaan dengan lebih mudah kerana telah memiliki pengalaman bekerja semasa Latihan Industri.  Ia juga menjadikan pelajar berfikiran lebih terbuka dan berpandangan jauh di dalam bidang yang diceburi.  Pelajar akan dapat melihat dan mendapatkan pengalaman di dalam bidang yang telah dipilih.

            Walau bagaimanapun, program yang dijalankan ini melahirkan tenaga separa mahir dan profesional seiring dengan sektor perindustrian ini.  Segala susah payah yang ditempuhi semasa dalam tempoh tersebut akan menjadi pendorong dan pemangkin kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang tinggi serta menjadikan diri sebagai seorang pelajar dan pekerja yang berdedikasi, cemerlang dan memberi komitmen menyeluruh di alam pekerjaan.


No comments:

Post a Comment